Berita terkini yang diperolehi dari sumber yang masih belum dapat disahkan kebenarannya ialah Proton Exora versi 1.8 liter Campro CPS bakal menjadi ahli keluarga baru MPV keluaran Proton pada masa akan datang. Jika berita ini benar maka ianya adalah berita baik bagi peminat Proton Exora yang masih belum membelinya. Ramai peminat MPV keluaran Proton itu masih bersabar menantikan sebuah model Exora yang dilengkapi dengan enjin turbo atau supercharger kerana mereka tidak mahu berkompromi dengan kuasa enjin Exora 1.6 Campro CPS yang dikatakan tidak cukup berkuasa.

Jika Proton Exora baru memiliki enjin Campro CPS berkapasiti 1.8 liter, dipercayai kuasa yang bakal dihasilkan akan melebihi 140bhp dan 170Nm tork. Sudah pasti dengan peningkatan kuasa setinggi itu tidak akan kedengaran lagi rungutan tentang Proton Exora yang dikatakan sebuah MPV yang lembab. Antara rungutan yang seringkali didengar ialah Proton Exora tidak mampu membawa 7 penumpang dewasa dan enjin terpaksa bekerja keras untuk bergerak, di samping menghadapi kesukaran apabila mendaki bukit dan sedikit masalah apabila memotong kenderaan lain. Hakikatnya semua yang dikatakan itu adalah perkara biasa dan dihadapi oleh kebanyakan model MPV dari jenama lain. Namun disebabkan Proton Exora adalah keluaran Proton yang seringkali mendapat perhatian ramai, isu tersebut adakalanya sengaja diperbesar-besarkan.

Isu yang mungkin menjadi topik perbualan hangat apabila Proton Exora versi 1.8 liter CPS dikeluarkan nanti ialah berkenaan harga yang bakal ditawarkan. Seperti biasa barang baik tidak murah, begitulah juga harga bagi sebuah Proton Exora 1.8 liter CPS nanti. Harga terkini bagi sebuah Proton Exora MC ialah RM76,998.00, oleh itu harga bagi sebuah Proton Exora Campro CPS 1.8 liter pula dipercayai bakal mencecah RM85k seunit. Mungkin ada yang beranggapan harga tersebut terlalu mahal bagi sebuah produk keluaran tempatan, namun jika diambil kira kualiti sebuah MPV, Proton Exora sememangnya layak untuk bersaing bersama-sama jenama lain dengan tangga harga setinggi itu.

Terdapat banyak projek baru yang bakal dilancarkan oleh Proton selepas ini. Selain daripada Proton Exora Campro CPS 1.8 liter, pengganti Proton Waja juga dikatakan akan dilancarkan pada penghujung tahun 2010 ini. Selain itu ialah Proton Gen2 versi sedan yang akan dilancarkan pada tahun 2011 nanti. Nampaknya Proton semakin sibuk dengan banyak projek baru setelah bekerjasama kembali dengan syarikat automotif gergasi jepun Mitsubishi. Sama-samalah kita memberikan sokongan kepada Proton dan harapan terhadap Proton ketika ini ialah supaya dapat menghasilkan model-model kenderaan baru yang lebih bergaya dan juga berkuasa.

Tajuk post berkaitan :