Bukan lagi rahsia apabila projek terbaru Proton ialah melakukan ‘sesuatu’ terhadap MPV pertama mereka iaitu Proton Exora. Proton bukannya tidak mendengar pandangan, kritikan dan kutukan rakyat Malaysia, kali ini mereka benar-benar mengambil berat. Jika Proton berani mengikut jejak langkah syarikat automotif dari Korea yang masih baru tetapi mampu bersaing di pasaran global, barisan model baru daripada Proton seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti yang diidam-idamkan oleh pembeli kereta baru, khususnya rakyat Malaysia sendiri. Rupa bentuk yang menarik dan sporty, ruang dalaman yang luas, enjin yang berkuasa dan memberikan nilai tambah iaitu peningkatan imej kepada pemiliknya adalah ciri-ciri yang wajib ada pada sesebuah model baru dari Proton. Lupakan kegagalan Proton Tiara, Proton Juara dan Proton Savvy, semua itu telah menjadi sejarah dan pengajaran yang berguna buat Proton.

Mungkin foto terbaru ini dapat memberikan sedikit klu dan gambaran kepada peminat-peminat Proton tentang model terbaru mereka yang kelihatan begitu menarik dan sporty. Melihat kepada foto-foto tersebut, agak mengejutkan apabila sekali pandang ianya kelihatan seperti Proton Exora yang sedang diuji tetapi model tersebut kelihatan lebih rendah dan lebar. Cuba bandingkan dengan Toyota Caldina dan sedikit sebanyak ada persamaannya. Inikah model terbaru Proton Exora? Bahagian cermin tingkap pintu hadapan model yang sedang diuji itu kelihatan agak tinggi dan meniru gaya dari Mercedes CLS 350. Seperti apa yang dikatakan oleh blog Paultan, model baru ini ‘amat misteri’. Jika benar itu adalah model baru dari Proton yang sedang dipandu uji, rakyat Malaysia dan peminat-peminat kereta Proton patut merasa gembira kerana Proton bakal mengeluarkan sebuah model kereta yang bergaya sporty.

Adakah itu sebuah model Proton Exora yang berenjinkan Campro CPS 1.8 liter? Atau mungkin ruang enjinnya telah diisi dengan teknologi supercharger atau sistem turbo hasil talaan Lotus? Rasanya model itu bakal dikeluarkan pada tahun 2011 nanti. Model baru Proton kali ini benar-benar misteri. Diharapkan selepas ini akan terdapat banyak lagi foto-foto berkenaan model kereta tersebut yang sempat disnap oleh rakan-rakan peminat Proton di luar sana.

Sumber foto : Blog Paultan

Tajuk post berkaitan :