Mitsubishi Lancer EX baru – bukan sasaran peminat Evo 10

Mitsubishi Lancer GT merupakan sebuah kereta yang mempunyai DNA dan pengaruh yang kuat daripada Mitsubishi Evolution 10. Salah satu faktor mengapa Mitsubishi GT dilancarkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMC) ialah kerana mereka memahami bahawa tidak semua peminat Evo akan mampu memiliki sebuah Evo 10 baru dengan harga hampir kepada RM300k.

Sebagai jalan penyelesaiannya dan juga salah satu teknik untuk meningkatkan jumlah jualan Mitsubishi Lancer, selepas beberapa ketika Lancer GLS dilancarkan, ianya telah digantikan dengan Lancer GT yang mempunyai rupa bentuk dan gaya sebuah Evolution 10. Hasilnya selepas itu Lancer GT kian banyak berkeliaran di atas jalan raya di negara kita.

Namun begitu tidak semua pembeli kereta baru yang tertarik kepada Mitsubishi Lancer GT. Sebuah kereta yang kelihatan garang walaupun dalam keadaan standard sebenarnya mempunyai kekurangan yang tersendiri. Pembeli kereta biasa terutamanya bagi mereka yang telah berkeluarga atau berusia di atas lingkungan 30an dan 40an tahun kelihatan kurang berminat terhadap Lancer GT, sama sekali bertentangan dengan mereka yang mempunyai minat terhadap sebuah kereta sport yang berkuasa dari keluarga Evolution.

Bukan semua orang mahu memiliki sebuah kereta yang berinspirasikan semangat perlumbaan. Hakikatnya majoriti penggemar kereta baru ialah mereka yang mahukan sebuah model kereta yang bergaya elegan, mempunyai nilai-nilai eksekutif, kelihatan sporty, sesuai untuk semua gender dan selesa untuk digunakan dalam pemanduan harian. Lihat saja kejayaan Honda Civic yang mencatat jumlah jualan yang amat memberansangkan.

Atas sebab itulah hari ini MMC telah melancarkan versi terbaru Lancer yang menyasarkan bakal-bakal pembeli yang mempunyai minat terhadap model kereta seperti Honda Civic, Honda City, Toyota Vios, Nissan Sylphy dan Kia Forte. Mitsubishi Lancer EX yang baru dirasmikan pelancarannya itu bersifat lebih lembut, eksekutif, bercirikan mewah dan kelihatan sesuai untuk pemandu-pemandu wanita atau untuk mereka yang telah berusia atas 40an tahun.

Tanpa meminggirkan teknologi yang menjadi identiti sebuah Lancer baru, tiada lagi ciri-ciri atau DNA perlumbaan daripada model Evolution 10. Ini tidak bermakna bahawa Lancer EX adalah sebuah model spesifikasi rendah, tetapi ianya dilancarkan untuk sasaran pembeli yang berbeza daripada pembeli Lancer yang bercitarasa ‘Evo wannabe’.

Lancer EX lebih kepada sebuah kereta untuk pemanduan harian seperti berulang-alik ke tempat kerja ataupun untuk melakukan perjalanan jauh. Berbeza dengan model Lancer GT, ianya bukanlah sebuah model yang sesuai untuk dinaik taraf kepada sebuah model perlumbaan. Sport rim aloi Lancer GT yang bersaiz 18 inci telah digantikan dengan sport rim 16 inci untuk sebuah Lancer EX. Lancer EX disediakan teknologi ‘cruise control’ yang amat selesa untuk melakukan perjalanan di atas lebuh raya.

Kuasa enjin 4B11 2.0 liter 153 bhp dan 199Nm tork masih dikekalkan sebagai identiti sebuah Lancer. Jika dilihat kepada bentuk dan kosmetik luaran serta dalaman sebuah Lancer EX, sudah pasti peminat Evo tidak akan membelinya dan perkara itu semestinya sudah dijangka oleh MMC. Sebab itulah peminat Evo mempunyai pilihan lain iaitu Lancer GT.

Harga bagi sebuah Lancer EX ialah RM117,676.10 (OTR tanpa insuran) dan lebih murah daripada sebuah Lancer GT yang berharga RM120,598.10. Didatangkan dengan dua warna pilihan yang menawan iaitu Putih dan Hitam, Lancer EX dibekalkan jaminan selama 5 tahun atau 100,000 km mana yang lebih awal.

Selain itu ianya juga dibekalkan pakej  kemudahan penyelenggaraan percuma selama 2 tahun atau sehingga 50,000 km. Memang menarik bagi sebuah model daripada Mitsubishi. Sila lihat gambar terbaru daripada MMC bagi mendapatkan gambaran lebih jelas sebuah Lancer EX.

Terbaik!(0)Booo~(0)

2 Comments

  1. yahaya

    July 16, 2010 at 10:45 pm

    cantik juga ...

    Terbaik!(0)Booo~(0)
    • Evo

      July 16, 2010 at 10:49 pm

      Memang cantik, tambah2 yang kaler putih.

      Terbaik!(0)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>