Proton Perdana V6 – berkualiti atau tidak? - Arena Kereta

Proton Perdana V6 – berkualiti atau tidak?

“Kereta Proton Perdana banyak masalah”, itu kata Menteri Besar (MB) Kedah seperti mana yang ditulis dalam akhbar Harian Metro 5/8/2010, m/s 2 ketika diminta mengulas tentang kewajaran kerajaan negeri membeli lima buah Toyota Camry bagi kegunaan Exco dan pegawai kanan. Kereta Toyota Camry itu dibeli bagi menggantikan Proton Perdana V6 Eksekutif yang sebelum ini menjadi kenderaan rasmi kegunaan kerajaan negeri.

Nampaknya isu berkenaan kualiti Proton Perdana V6 kembali panas setelah isu lama yang membabitkan kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan pakatan rakyat dahulu meletup, semuanya gara-gara kerajaan negeri Perak ketika itu membeli Toyota Camry bagi menggantikan Perdana V6. Proton Perdana V6 dikatakan sebuah kereta yang seringkali rosak, tidak tahan lama dan kos membaik pulih serta harga alat ganti yang tinggi.

Antara kerosakan yang sering berlaku melibatkan kotak gear automatik kereta itu yang tidak tahan lasak. Sudahlah cepat rosak dan tidak tahan lama, kos menukar kotak gear baru pula bukannya murah. Harga sebuah kotak gear automatik tulen Perdana V6 Eksekutif ialah RM21,244.34. Saya tidak pasti pula jika harga tersebut sudah berubah, kalau ada pembetulan harap ada sesiapa yang boleh betulkan.

Yang murah ialah harga kotak gear terpakai atau istilah popularnya ialah recond. Kotak gear Perdana V6 recond murah saja tapi bukan murah biasa, kosnya masih melebihi RM2000.00 sehingga RM4000.00 termasuk upah pemasangan. Seorang sahabat baik saya kini memiliki sebuah Perdana V6 terpakai keluaran tahun 2000.

Dua tahun lepas kereta itu mengalami kerosakan kotak gear sejurus dia keluar daripada Plaza Tol Sungai Petani Utara. Kotak gear tersebut telah bocor dan mengeluarkan banyak asap, mungkin disebabkan minyak pelincir dalam kotak gear itu. Akibatnya kereta itu terpaksa ditunda ke sebuah bengkel berhampiran. Mahu tidak mahu, sahabat saya itu terpaksa mengeluarkan kos melebihi RM3000.00 untuk membaiki kotak gear automatik kereta itu.

Pemilik Proton Perdana V6 mungkin tidak bersetuju bila dikatakan kereta model itu tidak berkualiti dan senang rosak. Hakikatnya seperti apa yang dikatakan oleh MB Kedah itu betul. Kereta Perdana V6 yang digunakan oleh kerajaan negeri sentiasa melakukan perjalanan yang jauh, jadi disebabkan kotak gearnya tidak tahan lasak, ianya cepat rosak.

Kerajaan negeri tidak lagi mahu menanggung kos yang tinggi untuk membaiki kereta itu pada setiap bulan, jadi adalah lebih berbaloi jika kerajaan negeri membeli kereta baru. Pilihan kerajaan negeri membeli Toyota Camry pula adalah pilihan yang tepat. Setakat ini masih belum ada isu berkenaan kualiti kereta Toyota Camry walaupun terdapat banyak model kereta keluaran Toyota di luar negara yang mengalami masalah kerosakan gear box, sistem brek dan komponen di dalam enjin.

Pandangan pemilik dan pihak-pihak yang mengatakan kualiti kereta Perdana V6 adalah bagus dan berkualiti juga ada betulnya cuma kurang tepat. Enjin dan kotak gear Proton Perdana V6 hanya boleh bertahan lama jika dilakukan servis secara berkala dan dengan pemanduan yang betul-betul cermat. Masalahnya kita mahu sebuah kereta yang tahan lasak dan tidak perlulah kita menjaganya seperti menatang minyak yang penuh.

Masalahnya kereta Perdana V6 terlalu manja dan lembut, baru digasak sedikit sudah rosak. Apatah lagi Exco kerajaan negeri yang selalu mengejar masa, terutamanya jika perlu hadir mesyuarat penting dan program-program yang dijalankan, sudah tentu pemandu akan memecut dengan laju.

Namun ada penyelesaiannya untuk menyelesaikan masalah enjin dan kotak gear Perdana V6 yang selalu sangat sakit itu. Caranya ialah dengan menukar enjin dan kotak gear baru menggunakan enjin terpakai import dari Jepun. Enjin turbo berkembar dari Mitsubishi Eterna 2000cc salinan halfcut yang banyak dijual di kedai kereta potong adalah pilihan yang paling tepat.

Peminat-peminat Perdana V6 terutamanya golongan muda dan kaki modifikasi kereta sudah biasa dengan enjin tersebut. Mereka juga tidak mahu menanggung risiko mengeluarkan belanja yang tinggi jika masih menggunakan enjin dan kotak gear asal.

Proton Perdana V6 masih merupakan sebuah kereta yang berbaloi untuk dimiliki terutamanya bagi model terpakai. Disebabkan masalah kualiti dan penggunaan petrol yang tinggi, harga bagi sebuah Proton Perdana V6 terpakai jatuh merudum dengan teruk. Bayangkan harga yang ditawarkan cukup murah bermula dari RM25k sehingga RM40k untuk model keluaran tahun 1999 sehingga 2004.

Berkenaan dengan kualiti pula, risiko harus diambil oleh bakal pembeli dan mereka harus menyediakan bajet yang mencukupi bagi membaiki kotak gear dan enjin yang mungkin akan rosak. Mereka tidak perlu merasa rugi kerana mereka telah membeli sebuah kereta saloon mewah dengan harga yang murah, jadi apa salahnya mengeluarkan sedikit modal untuk membaiki apa yang patut.

Sumber foto : Mudah.my

Terbaik!(2)Booo~(1)

4 Comments

  1. Bengkel Modifikasi Kereta Perdana

    August 7, 2010 at 12:53 pm

    memang sayang. proton telah bersusah payah mengujudkan model premium yang dilabelkan sebagai kereta proton. kita sangat bertuah dapat memiliki kereta yang mampu dimiliki oleh rakyat malaysia. apa akan jadi dengan kereta-kereta lain yang proton rebadge menjadi kereta tempatan. oleh itu rakyat malaysia yang prihatin perlu mewujudkan pusat servis tak semestinya milik proton tapi milik persendirian yang mampu memberi khidmat custom dan profesional repair mengikut kehendak pelanggan agar ciri-ciri kereta idaman mereka tetap dipelihara. proton dengan secara tak langsung sebenarnya telah mewujudkan peluang perniagaan bagi mereka yang minat dan kreatif dalam bidang permotoran. jadi, janganlah kita lepaskan peluang keemasan ini!

    Terbaik!(2)Booo~(0)
  2. Pingback: RM5.12 juta untuk kos ‘maintenance’ Proton Perdana V6 selama 3 tahun???!!! | Arena Kereta

  3. nasarudin bin jamaludin

    November 22, 2010 at 8:44 pm

    harga sebenar baiki gear box perdana v 6 executive dan dekat denga sg buloh

    Terbaik!(0)Booo~(0)
  4. perdana7777

    December 20, 2012 at 2:52 pm

    enjin yg terbaik untuk di sarung kan ke dalam kereta perdana??? minta pandangan...

    Terbaik!(4)Booo~(1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>