Perodua Kenari (2000 -2009) - Arena Kereta

Perodua Kenari (2000 -2009)

Salah satu model kereta popular dari Perodua ialah Perodua Kenari. Sebelum Perodua Myvi dilancarkan, Perodua Kenari menjadi pilihan kepada mereka yang berminat untuk memiliki sebuah kereta kompak, tetapi mahukan saiz yang lebih besar berbanding Perodua Kancil dan Perodua Kelisa. Walaupun ada yang memandang Perodua Kenari sebagai sebuah kereta yang kurang menarik, berbentuk boxy sehingga menggelarnya peti ais, Perodua Kenari tetap mencatatkan jumlah jualan yang baik sepanjang pengeluarannya.

Perodua Kenari merupakan sebuah model rebadge dari model Daihatsu Move keluaran Daihatsu. Berbentuk seperti sebuah mini MPV dengan lima tempat duduk, Perodua Kenari mempunyai ruang yang luas dan selesa. Ruang siling kepala yang tinggi cukup untuk membuatkan pemandu dan penumpang berasa selesa. Walaupun secara luaran Perodua Kenari nampak kompak, tempat duduk penumpang di belakang dapat memuatkan 3 orang penumpang dewasa tanpa masalah. Ruang bagasinya juga agak luas untuk menempatkan barang-barang walaupun tidak seluas kereta sedan.

Perodua Kenari dikuasakan enjin bersesaran 1.0 liter DOHC dan dilengkapkan bersama kotak gear manual dan automatik. Mini MPV ini dibekalkan rim aloi bersaiz standard 14 inci. Model yang dikeluarkan bermula tahun 2000 ini mempunyai beberapa versi sepanjang tempoh jualannya. Antara varian yang pernah dikeluarkan ialah GX (manual), EZ (automatik) Aerosport (manual & automatik) dan RS (automatik). Pada awal pengeluaran, rupa bentuk luaran Perodua Kenari tidak menarik dan menerima kritikan dari pelbagai pihak. Pada tahun 2003, Perodua Kenari facelift dilancarkan dengan lampu depan berkembar yang ternyata lebih menarik dan bergaya.

Pada tahun 2004, versi Aerosport dengan rupa bentuk sporty dan dihiasi bodykit penuh dilancarkan. Lampu belakang model itu juga diubah kepada rekaan baru yang lebih menawan. Walaupun enjin masih sama, bahagian dalaman dan luaran versi facelift Aerosport ini diakui antara yang paling menarik dan sporty. Setelah pengenalan model Perodua Myvi pada tahun 2005, Perodua melancarkan model facelift terakhir iaitu Perodua Kenari RS pada November 2006, diinspirasikan dari model asalnya di Jepun iaitu Daihatsu Move Custom. Versi RS tampil dengan imej lebih sporty di mana bumper depan dan belakang adalah berbeza dari model sebelumnya dan bahagian depannya dilengkapkan dengan empat buah lampu. Model RS hanya tersedia transmisi automatik sahaja.

Perodua Kenari RS hadir dengan pakej terbaik, malangnya harganya yang agak tinggi membuatkan bakal pembeli memilih Perodua Myvi yang mempunyai enjin 1.3 liter. Selain itu, populariti Perodua Myvi ketika itu menyebabkan Perodua Kenari hampir-hampir dilupakan oleh rakyat Malaysia. Perodua Kenari RS tidak mencatatkan jualan yang memuaskan sejak ianya dilancarkan, hanya mereka yang mempunyai minat terhadap model itu sahaja sanggup membelinya. Namun melihat kepada legasi model ini sejak tahun 2000, Perodua Kenari boleh dikatakan antara model yang berjaya dan memberikan keuntungan kepada pengeluarnya.

Bermula tahun 2009, Perodua Kenari telah dihentikan pengeluaran dari kilang sepenuhnya walaupun pihak Perodua tidak mengumumkannya secara rasmi. Menurut sumber yang boleh dipercayai, Perodua masih menyimpan stok Perodua Kenari lama dan jika bernasib baik, sesiapa yang berminat masih boleh membelinya dengan harga diskaun yang menarik.

Bagi yang berminat untuk mencari sebuah kereta kompak terpakai dengan harga serendah RM10,000.00 pula, Perodua Kenari amat sesuai menjadi pilihan. Harga bagi model itu berbeza mengikut tahun ia dikeluarkan, termasuk versi yang ditawarkan. Bagi model Aerosport, harganya sedikit mahal berbanding versi biasa manakala Kenari RS terpakai paling mahal. Harga sebuah Perodua Kenari terpakai yang dikeluarkan pada tahun 2000 sehingga 2009 ketika ini berada dalam lingkungan RM10,000.00 sehingga RM40,000.00. Model terbaik yang boleh menjadi pilihan dan berbaloi dibeli ialah model Aerosport yang dikeluarkan pada tahun 2004 dan 2005.

Bagi model Aerosport terpakai yang dikeluarkan pada tahun 2004 dan 2005, harganya begitu berpatutan sekali iaitu dalam lingkungan RM20,000.00 sehingga RM25,000.00 sahaja. Rasanya dengan harga seperti itu, Perodua Kenari Aerosport terpakai boleh dimiliki oleh kebanyakan orang sama ada untuk kegunaan individu mahupun keluarga. Jika Perodua Myvi terpakai masih mahal, dan Perodua Kelisa terpakai pula dirasakan tidak berbaloi kerana harga yang tinggi untuk sebuah kereta kompak bersaiz kecil, pilihan terbaik yang masih ada hanyalah Perodua Kenari Aerosport.

Terbaik!(0)Booo~(0)

3 Comments

  1. miey

    August 18, 2010 at 11:16 am

    Rasanya sudah lama perodua tidak inovasikan rekabentuk baru untuk kenari ini. Padahal di Japan, syarikat pembuat Daihatsu, Suzuki sudah pun ada variasi yg berlainan.

    Pasti menarik..perodua pasti dapat jualan tinggi sekali lagi kerana saya tahu ada golongan yg meminati family kenari.

    Terbaik!(1)Booo~(0)
  2. mansyah

    July 3, 2013 at 9:22 pm

    saya memang masih mencari2 lagi perodua kenari. saya mmg berminat dengan perodua kenari sejak mula dilancarkan lebih2 lagi model aerospot.....mana nak cari ye..

    Terbaik!(2)Booo~(0)
  3. MSHAH

    October 17, 2013 at 10:22 pm

    boleh x emailkan saya service manual pdf kenari aerosport(A) terima kasih

    Terbaik!(3)Booo~(1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>