Proton Saga - sedan kompak sesuai untuk semua - Arena Kereta

Proton Saga – sedan kompak sesuai untuk semua

Selepas Proton Savvy dilancarkan pada tahun 2005 dan tewas kepada Perodua Myvi dari segi jumlah jualan buat beberapa tahun selepas itu, saya tertanya-tanya apa akan jadi kepada model kompak itu. Persepsi saya mungkin agak keterlaluan tetapi saya mengandaikan yang Savvy akan menjadi contoh sebuah kereta kecil yang dibina oleh Proton, kemudiannya gagal seratus-peratus dan perlu diberhentikan pengeluarannya seawal mungkin, semuanya hanya disebabkan satu perkara kecil. Bagi saya teori membina sebuah kereta untuk dijual perlu berteraskan kepada reka bentuk yang menarik, menawan dan bergaya.

Praktikal saja tidak memadai, malah tidak akan pernah membantu sesebuah kereta itu untuk terjual dalam jumlah yang besar. Sebab itu Proton Savvy gagal. Hadir dengan ruang yang cukup selesa bagi sebuah kereta kompak, teknologi yang terbaik dengan ciri-ciri keselamatan pada tahap tertinggi berbanding pesaingnya tetapi tewas dari segi reka bentuk yang agak lucu. Memang melucukan bentuk sebuah Savvy, semua orang mengatakan benda yang sama, jadi rasanya saya tidak terlalu keterlaluan dalam perkara tersebut. Savvy dengan kit R3 dan diskaun yang tinggi pun tetap gagal membantunya untuk terus bersaing.

Mujurlah Proton cepat tersedar dan akhirnya mereka mendapat idea untuk membina sebuah kereta sedan kecil iaitu Saga baru (BLM) (2008) menggunakan platform Savvy. Kegagalan Savvy tidak bermakna pembangunannya yang menelan kos tinggi itu harus dibazirkan. Saya tidak tahu sama ada perancangan untuk membina Saga BLM sudah ada sebelum Savvy dilancarkan, atau selepas mereka melihat Savvy telah gagal lalu mereka menggunakan plan B, iaitu membina sebuah model baru sebagai pengganti. Sekurang-kurangnya mereka membuat keputusan yang betul. Proton Saga baru sungguh pun hadir dengan DNA Savvy, ianya tidak mewarisi faktor utama kegagalan Savvy iaitu reka bentuk yang gagal membuatkan sesiapa saja jatuh hati padanya.

Faktor kejayaan Saga boleh dilihat pada awal persaingannya dengan Perodua Myvi. Hadir dengan enjin 1.3 liter CamPro IAFM, 4 Silinder, DOHC 16 valve dan dipadankan transmisi manual serta automatik, model ini benar-benar menjadi pesaing yang kuat terhadap Myvi, ibarat buku bertemu ruas. Reka bentuknya walaupun pada mulanya dikatakan agak kurang menarik, tetapi dengan faktor-faktor lain yang tiada pada model Myvi, sedikit demi sedikit jualannya mula meningkat. Ruang bonet sesebuah sedan seringkali menjadi pilihan mereka yang berkeluarga, atau pun individu yang memandang bahawa sesebuah kereta perlu mempunyai ruang yang luas untuk membawa barang-barang. Ruang tempat duduk penumpang yang luas dan selesa menjadi satu lagi ciri-ciri kejayaan Saga.

Faktor pengendalian hasil sentuhan Lotus dan keselesaan pemanduan menjadi faktor tambahan yang tiada pada pesaing sekelasnya. Kemudian harga yang ditawarkan rasanya begitu kompetetif dan saya perlu berterima kasih kerana Saga yang praktikal, bertenaga dan mempunyai reka bentuk gagah dan maskulin ini dijual pada harga yang cukup berpatutan. Ini betul-betul kereta yang dibina untuk rakyat Malaysia. Sebuah sedan kompak yang tidak berlebih-lebihan dari segi gaya dan praktikaliti, plus harga mampu milik. Proton Saga dijual bermula dari RM36,548.00 (harga OTR) sehingga RM44,998.00 (harga OTR).

Bagi saya Proton telah membina sebuah kereta yang betul hasil kegagalan sebuah Savvy. Meneruskan kejayaannya, Proton Saga tidak menunggu lama untuk terus membuatkan rakyat Malaysia terpesona dan menyebabkan lebih ramai yang berminat untuk memilikinya. Proton Saga SE (2009), versi facelift hadir tepat pada masanya untuk meneruskan momentum penjualan yang sedia laris. Terus-terang, Proton Saga SE memang memukau pandangan. Inilah kereta yang jika saya membelinya, saya tidak akan melakukan apa-apa modifikasi langsung. Dari bahagian depan sehingga belakang, Saga SE membuatkan saya ingin menjual Perodua Myvi EZi saya semata-mata untuk memilikinya. Warna merah dan putih yang ‘kena’ dengan bentuknya, bumbung diwarnakan hitam, bodykit lengkap memenuhi seluruh badan, sport rim sporty dan spoiler belakang, saya benar-benar tertawan dengan Saga SE.

Menjenguk ke bahagian dalam, kelihatan kusyen kulit yang dibalut kemas, meter combi dengan visual sporty, stereng dengan sentuhan kulit dan panel pintu dihiasi kemasan kulit, Saga SE kelihatan begitu mewah dan elegan. Bukan saja saya yang terpesona, sebaliknya rakyat Malaysia yang lain juga berperasaan begitu, maka tidak hairanlah model Saga SE ini telah membantu melonjakkan jumlah jualan keseluruhan model Saga. Bermula Januari sehingga Jun 2010, jumlah keseluruhan jualan Saga ialah sebanyak 37,480 unit berbanding Perodua Myvi sebanyak 36,316 unit. Jualan pada bulan Jun 2010 sahaja ialah sebanyak 6,649 unit. Nampaknya rakyat Malaysia sependapat dengan saya bahawa Saga memang sebuah model kereta yang memenuhi citarasa semua.

Jika anda masih keliru dan tidak tahu model kereta manakah yang sepatutnya anda beli, tambahan pula dengan bajet di bawah RM50K, tidak lain tidak bukan inilah pilihan yang paling tepat, sebuah Saga baru dari Proton. Percayalah, inilah sebuah sedan kompak untuk semua, sama ada anda masih bujang atau berkeluarga, kereta ini pasti tidak akan menghampakan. Saga baru tidak akan membuatkan anda menyesal kerana memilihnya, dan tidak akan memeningkan kepala anda sekali lagi untuk memilih kereta lain atas alasan praktikal. Proton Saga menawarkan tujuh warna pilihan menawan iaitu biru (mountain blue), hitam (metallic black), hijau (zircon green), putih (solid white), kelabu (granite grey), merah (chili red) dan perak (genetic silver). Proton Saga SE pula menawarkan hanya dua pilihan warna iaitu merah (brilliant red) dan putih (solid white).

Harga Proton Saga :

  • Proton Saga 1.3 B-Line (manual) Solid          RM36,548.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 B-Line (manual) Metalik       RM36,998.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 B-Line (auto) Solid             RM39,548.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 B-Line (auto) Metalik           RM39,998.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 M-Line (manual) Solid         RM39,048.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 M-Line (manual( Metalik       RM39,498.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 M-Line (auto) Solid             RM41,548.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 M-Line (auto) Metalik           RM41,998.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 SE (manual) Solid                RM42,048.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 SE (manual) Metalik             RM42,498.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 SE (auto) Solid                   RM44,548.00 (harga OTR)
  • Proton Saga 1.3 SE (auto) Metalik                RM44,998.00 (harga OTR)

*harga tertakhluk pada perubahan semasa tanpa notis

Terbaik!(0)Booo~(0)

13 Comments

  1. pojie

    August 24, 2010 at 6:33 am

    SALAM..saga blm SE memang cantik menyebabkan saya dalam dilema untuk beli myvi SE ataupun Saga BLM SE. tapi ada orang kata saga ni agak rendah nilai jualan balik. tapi yang menjadikan keutamaan saya sekarang ialah yang paling jimat penggunaan minyaknya. pada pandangan tuan yang manakah lebih jimat antara saga BLM SE dengan myvi Se. terima kasih.

    Terbaik!(0)Booo~(0)
    • Evo

      August 24, 2010 at 8:04 am

      Kalau penjimatan minyak, Myvi SE lebih jimat, cuma perbezaan dengan Saga SE tak besar mana. Bagi saya, Myvi SE dan Saga SE masing2 ada kelebihan tersendiri.

      Bab jualan balik saya tak pasti pulak, sebab saya tak penah jumpa lagi Saga SE terpakai, model tu dah elok, jadi susah orang nak jual balik.

      Terbaik!(0)Booo~(0)
  2. FTN

    August 24, 2010 at 8:46 am

    good write up on the saga. memang kereta yang berbaloi, worth the money. sesuai diberi gelaran "kereta rakyat"

    Terbaik!(0)Booo~(0)
    • Evo

      August 24, 2010 at 12:46 pm

      Thanks bro. Dengan Saga, semua rakyat Malaysia dapat memiliki sebuah kereta sedan baru dengan kos rendah.

      Terbaik!(0)Booo~(0)
  3. fauzan

    August 24, 2010 at 8:56 am

    mmm... model saga mmg memenuhi citarasa rakyat m'sia. bentuk praktikal, value for money, mampu milik, ruang bonet dan ruang penumpang yang paling luas di dalam kelasnya. Antara Myvi n saga mmg ar myvi lebih jimat sebab kereta compact tu x de boot. Tapi telah diuji, saga juga adalah budget sedan yg menjimatkan jugek.

    mmm... pasal savvy pulak, model nie x lah gagal wlaupun design languagenya tak menepati citarasa org m'sia. Model sub-compact nie sepatutnya bersaing dgn model seperti kancil. Tapi timing model nie keluar x tepat sebab pelancarannya lebih kurang sama dgn model supermini compact milik perodua; myvi. Faham2 jer la sikap rakyat m'sia yg suka buat perbandingan tu; Ketika itu, myvi melengkapi citarasa pengguna dgn menawarkan model compact yg mempunyai ruang penumpang yg luas dan menjimatkan. Dan ketika itu tiada model2 sedan dari proton yg meyakinkan melainkn model khusus gen2 yg sporty utk golongan muda. Maka kekal la myvi model paling laris selama 5 tahun berturut2 ;)

    Model savvy bagi saya x la gagal 100%. design language yg kurang sket terutama kat bhgian depan tu. Tapi dari segi performance n penjimatan tiada maslah. Di m'sia jer model nie kurang mendapat sambutan. Tapi di UK, model nie adalah model proton kedua laris selepas persona. Begitu juga di Thailand, model nie adalah dlm 10 model terlaris di thailand 2008. dan ketika nie adlah model terlaris proton di sana selain exora n persona. Di Australia juga pun begitu, savvy juga mendapat tempat selain saga, persona n arena. Bagi mereka, savvy layak utk menjadi kereta kedua n sub bandar yg mudah n menjimatkan selain bentuk casing kukuh n diiktiraf oleh firma standard kualiti di jerman. DSZ pernah bagitau model nie akan ditamatkan menjelang 2011. Dan korang tentu dapat menjangkakn model mana akan menjadi penggantinya? ; tak lain n tak bukan model EMAS...hehehe..

    cheers!

    Terbaik!(0)Booo~(0)
    • Evo

      August 24, 2010 at 12:53 pm

      Hakikatnya Savvy merupakan sebuah produk yang gagal di negara sendiri. Bayangkan sesiapa saja yang membeli Savvy akan mengalami kerugian besar kerana nilai jual balik yang merudum dengan teruk. Kos alat ganti juga tinggi, maklumlah enjin Renault, langsung tidak mesra customer.

      Jumlah jualan Savvy di negara luar taklah laris sangat, tetapi masih memmberikan keuntungan kepada Proton. Bayangkan kalau Savvy direka dengan bentuk yang lebih cantik, tentu model itu akan 'boom' tidak kira di mana ia dijual. Savvy patut menjadi pengajaran kepada Proton tentang bagaimana mereka harus membina setiap model baru selepas ini.

      Terbaik!(0)Booo~(0)
      • fauzan

        August 24, 2010 at 3:26 pm

        mmm... mgkin ada benarnya, tapi savvy adalah generasi pertama model compactnya kn? Proton blajar sesuatu dari situ ;) Lotus juga belajar sesuatu dari situ bagaimana nk consult proton dlm rekabentuk mengikut acuan proton:) nantikan generasi model compact proton seterusnya 2011/12...

        mmm... apa yg saya tahu enjin renault yg ada pada savvy adalah enjin renault yg pernah mendapat award enjin kecil terbaik di pentas antarabangsa. x tau la bagaimana pula umum menilai keseluruhan enjin keluaran renault yg lain...

        cheers!

        Terbaik!(0)Booo~(0)
  4. FBI

    August 24, 2010 at 9:23 am

    Sekali Lagi Fauzan dengan Fact N Figura
    Savvy Kurang Mendapat Sambutan Di Malaysia tetapi mendapat Sambutan Khususnya di thailand.Corang Citarasa bangsa Juga menyumbang kepada rekabentuk sesebuah kereta.Di Malaysia Citarasanya sangat dinamik dan unik sukar di jangkakan.
    Balik Kepada Saga Mmg Model Ini adalah model untuk rakyat dan kembali kepada konsep mampu milik.Sekurang kurangnya rakyat masih mampu memiliki kereta dengan model Yang asas dari saga...

    Terbaik!(0)Booo~(0)
    • Evo

      August 24, 2010 at 12:55 pm

      Rakyat Malaysia bukan terlalu cerewet tetapi masih mempunyai citarasa tinggi apabila memilih kereta. Faktor utama ialah reka bentuk dan gaya. Keduanya harga, kemudian baru mereka melihat kepada teknologi. Sebab itu Proton Saga dan Perodua Myvi laris, semuanya disebabkan reka bentuk yang menarik, bergaya dan sporty.

      Terbaik!(0)Booo~(0)
  5. zura

    September 15, 2010 at 6:11 pm

    salam..sy nk beli kete saga..manual 1.3
    blm b-line ngn m lime tu pe beza ek?
    kalo pkai lesen l bole x?
    coz aku xreti pkai bg kat adik drive
    aku keje krajaan...huhu..bkn student tp nk arge student..hee

    Terbaik!(0)Booo~(0)
    • Evo

      September 15, 2010 at 7:03 pm

      BLM b-line model paling asas, m-line tu model pertengahan, SE pulak model paling lengkap spesifikasinya. Kalau nak beli elok ambil m-line atau SE, alang2 dah kerja kerajaan.. ;) Takde lesen pun boleh, ada caranya.

      Terbaik!(0)Booo~(0)
      • rubi

        September 21, 2010 at 4:19 pm

        cam ne cara nak beli kete klu saya xde lesen?suami
        lak dah blacklist.ingat nak beli guna nama saya tp
        suami driving la

        Terbaik!(0)Booo~(0)
        • Evo

          September 21, 2010 at 11:24 pm

          Senang je, biar salesman kereta yang uruskan semua tu, dia orang dah ada pengalaman, macam mana pun dia orang boleh uruskan.

          Terbaik!(0)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>