Kajian penggabungan Proton dan Perodua hampir selesai

Logo Proton & PeroduaMenurut laporan dari BERNAMA bertarikh 10 November lepas, kajian tentang penggabungan antara syarikat automotif negara iaitu Proton dan Perodua sudah hampir selesai. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa pelancaran Proton Inspira di Shah Alam, Selangor. Kajian tersebut akan diserahkan kepada pihak kerajaan sebelum keputusan muktamad diambil.

Penggabungan antara Proton dan Perodua nampak menarik di atas kertas kerana Perodua merupakan sebuah syarikat yang menguntungkan apabila sejak beberapa tahun yang lalu berjaya mencatatkan jumlah jualan kenderaan dalam kuantiti yang luar biasa, sehingga menenggelamkan kejayaan Proton sebelum itu. Di sebalik kegagalan Proton mencatatkan keuntungan yang memuaskan, penggabungan dengan Perodua dilihat sebagai jalan penyelamat utama.

Saya telah memberikan ulasan ringkas berkenaan penggabungan Proton dan Perodua sebelum ini di dalam post bertajuk “Proton dan Perodua Bergabung?”. Bagi saya penggabungan Proton dan Perodua tidak mungkin akan berlaku, ibarat bermimpi di siang hari. Jika pihak kerajaan masih mahu Proton dan Perodua bergabung, tiada jalan lain melainkan memaksa Perodua menjual sebahagian saham mereka kepada Proton, sekurang-kurangnya 51 peratus.

Adakah pihak kerajaan akan masuk campur sebegitu jauh dalam urusan Perodua tanpa mengambil kira pandangan syarikat induk Perodua iaitu Daihatsu dan Toyota? Tanpa Daihatsu dan Toyota, Perodua boleh diibaratkan seperti Naza tanpa Kia dan Peugeot. Di bawah berikut ialah salinan post bertarikh 26 Julai 2010.

Proton dan Perodua bergabung?

Syarikat automotif negara iaitu Proton seringkali mendapat perhatian yang besar daripada rakyat dan kepimpinan negara. Proton adalah lambang kejayaan Malaysia dalam meneroka industri berat yang sebelum ini kelihatan amat mustahil dilakukan oleh sebuah negara membangun seperti Malaysia. Namun demi membuktikan bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara perindustrian dengan mengambil jejak langkah serta kejayaan negara Jepun, maka lahirlah Proton yang menjadi kebanggaan di seluruh negara. Semangat patriotik yang dibawakan Proton bukan calang-calang sehingga timbul persepsi bahawa semangat patriotik yang kuat telah mendorong rakyat Malaysia membeli kereta buatan Proton walaupun diakui kualiti dan teknologinya berbanding pesaing dari negara luar begitu melebar luas.

Apa saja perkara mengenai Proton pasti akan menimbulkan reaksi yang bercampur-baur dari segenap lapisan masyarakat sehinggalah melangkaui kepimpinan negara. Adakalanya isu Proton menyentuh sensitiviti parti-parti politik di negara kita. Begitu kuatnya peranan Proton yang telah menyentuh hati kebanyakan rakyat Malaysia dan ramai yang menaruh harapan supaya syarikat automotif pertama negara itu kekal sebagai entiti negara seratus peratus tanpa berpindah tangan kepada pihak luar. Melihat kepada pendapat umum sejak kebelakangan ini, Proton seharusnya kekal menjadi hak milik negara tanpa tergadai kepada mana-mana syarikat automotif dari luar negara walaupun trend dalam dunia automotif ketika ini mengatakan perkara tersebut sukar untuk dilaksanakan.

Dalam dunia automotif yang begitu kuat persaingannya, hanya yang kuat dan berdaya saing sahaja akan mampu kekal lama. Kos menghasilkan sesebuah kenderaan dengan teknologi moden dan terkini adalah terlalu tinggi dan seringkali mencecah ratusan juta ringgit hanya bagi menghasilkan sebuah model prototype sebelum dapat dijual. Dengan melihat kepada keupayaan Proton yang mencatatkan angka jualan kenderaan yang sedikit dan kuntungan yang tidak seberapa sejak beberapa tahun kebelakangan ini akhirnya telah menimbulkan pendapat bahawa Proton telah gagal untuk bersaing dalam arena automotif di masa kini.

Usia Proton yang telah melepasi 25 tahun dijadikan kayu ukur akan ketidak mampuannya dalam menghasilkan kenderaan yang berteknologi tinggi dan mengikut piawaian antarabangsa. Lambat laun Proton dikatakan perlu menjalinkan kerjasama atau usahasama dengan syarikat automotif luar yang lebih berkemampuan dalam menghasilkan model-model kenderaan baru di samping teknologi enjin yang terkini. Dengan cara itu bukan saja dapat memastikan Proton terus hidup tetapi juga dikatakan dapat menyelematkan Proton daripada kemungkinan muflis atau mencatatkan kerugian dalam jangka masa yang panjang, seterusnya akan membebankan kerajaan yang mempunyai pegangan saham majoriti dalam syarikat Proton.

Beberapa perbincangan dengan syarikat-syarikat automotif dari negara luar sebelum ini menemui jalan buntu walaupun beberapa siri perundingan diadakan dengan serius. Ada ketikanya Proton seakan-akan berjaya dalam perundingan untuk menjalin hubungan strategik dengan rakan kongsi dari luar, namun disebabkan beberapa perkara yang akan menyebabkan Proton kehilangan identitinya sebagai syarikat automotif negara, akhirnya Proton memutuskan tidak akan ada sebarang kerjasama strategik dengan mana-mana syarikat automotif dari negara luar setakat ini. Walaupun gagal mendapatkan rakan strategik yang sesuai, Proton kini menjalinkan semula hubungan dengan rakan automotif lamanya iaitu Mitsubishi.

Proton kini masih berdiri gagah sebagai sebuah syarikat automotif negara yang kelihatan selesa dengan hasil jualan kenderaan yang memuaskan di samping keuntungan yang agak memberansangkan, namun lambat laun Proton terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak akan mampu selamanya berdiri tanpa sokongan daripada rakan strategik yang lebih berkemampuan. Kos menghasilkan kenderaan baru di samping kemampuan Proton yang agak lemah dalam menghasilkan enjin dan teknologi moden menyebabkan Proton terpaksa mencari alternatif lain untuk terus kekal bersaing.

Antara inisiatif terkini yang dilontarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ialah cadangan supaya Proton bergabung dengan syarikat automotif kedua negara iaitu Perodua. Cadangan itu dikemukakan bagi kebaikan industri automotif negara di samping memperluaskan keupayaan kedua-dua syarikat tersebut untuk terus berdaya saing. Cadangan itu kelihatan menarik tetapi sehingga kini Proton dan Perodua masih tidak memberikan sebarang reaksi konkrit berhubung cadangan tersebut. Adalah sukar bagi Proton untuk menjalinkan kerjasama dengan Perodua walaupun perkara tersebut tidak mustahil akan menjadi realiti pada masa hadapan.

Perodua seperti diketahui umum merupakan sebuah syarikat automotif tempatan yang mempunyai rentak yang berbeza dengan Proton. Agak keterlaluan jika mengatakan Perodua adalah syarikat milik Daihatsu yang kebanyakan saham majoritinya dimiliki oleh syarikat automotif gergasi Toyota. Perodua tidak memiliki R & D dalam menghasilkan kenderaannya sendiri berbanding Proton yang telah berjaya menghasilkan kenderaan sendiri. Tidak dapat dipastikan jika penggabungan tersebut berjaya adakah Proton atau Perodua yang akan lebih mendapat manfaatnya?

Banyak pihak yang telah menyokong cadangan penggabungan Proton dan Perodua sebagai syarikat automotif tunggal negara. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak membantah usaha tersebut kerana selain Proton, Perodua juga merupakan sebuah syarikat automotif negara yang berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan barisan model kenderaannya yang popular. Namun masih ramai yang tidak menyedari bahawa cadangan tersebut kelihatan hanya untuk menyelamatkan masa depan Proton berbanding Perodua yang ketika ini berada dalam keadaan selesa.

Jika penggabungan tersebut berjaya menjadi realiti atas desakan kerajaan, berjayakah Proton dan Perodua menjadi sebuah syarikat automotif terbesar di negara kita? Apa yang masih belum diketahui kini ialah berkenaan peranan syarikat Daihatsu dan Toyota dalam menghasilkan kenderaan kepada Perodua selepas penggabungan tersebut. Tanpa Daihatsu dan Toyota bermakna Perodua tidak akan ke mana-mana. Persoalannya kini ialah adakah Perodua akan bersetuju dengan cadangan penggabungan tersebut jika Daihatsu dan Toyota menolak?

Ketika ini Perodua tidak menghadapi sebarang masalah kerana Daihatsu dan Toyota adalah rakan strategik mereka dalam erti kata sebenar. Sebenarnya Perodua tidak memerlukan Proton untuk terus bersaing, hanya Proton yang masih tercari-cari rakan strategik yang sesuai sama ada melalui penggabungan ataupun usahasama secara teknikal.

Terbaik!(0)Booo~(0)

1 Comment

  1. fauzan

    November 21, 2010 at 10:55 pm

    mmm... saya x rasa proton begitu terdesak utk mendapatkan rakan strategik. Tapi senario rakan strategik adalah satu keperluan bagi pengeluar2 kereta dunia hari ini dan proton mengikut trend sebegitu. Yg nie kena clear. Statement2 sebelum nie seperti menunjukkan proton sudah tidak berupaya meneruskan perniagaannya dlm industri automatif negara.
    Tak silap dulu, penggabungan proton-perodua disuarakan oleh Pengarah urusan perodua Aminar Rashid. Dan beberapa kali statement tu baru ada cadangan dari pihak kerajaan utk mereka bergabung. Kalau betul proton yg yg beria/terdesak nk bergabung, mengapa hasrat itu tidak pernah pun disuarakan oleh pengerusi atau DSZ. Mereka cuma menyambut balas statement Aminar Rasyid mengatakan selagi ada kerjasama yg bleh difikirkan dan memberikan kebaikan bersama, why not?.

    Bagi pendapat saya, proton sedang dalm plan proses pemulihan dan 2 tahun kebelakangan ini telah menampakkan hasil. Walaupun Perodua nampak berada dlm zon selesa sejak 6 tahun kebelakangan ini. Sejak kebelakangan nie perodua masih ternanti2 model2 baru mereka dari syarikat induk mereka toyota/daihatsu. Walau pun perodua mendahului volume jualan sejak kebelakangan ini, lihat lah % perbezaan jualan mereka berbanding proton.
    Jualan keseluruhan model2 perodua dari Jan-Ogos 128,652 unit berbandign proton 108,685 unit. Jualan model terlaris silih berganti antara myvi-saga. Bulan September jualan terlaris disandang oleh saga. Model2 compact termurah perodua mmg mendapat perhatian pembeli dan menjadi sasaran pembeli pun. Tapi langkah proton dgn menaiktaraf model2 popularnya mengikut katogeri segment; saga, persona n exora dan bersedia menerima kemunculan model replacement sehingga 2012 nie sepatutnya meresahkan perodua yg begitu selesa dgn model2 malar segar daihatsu/toyota tanpa ada tanda2 model yg benar2 baru. Sekiranya perodua hanya selesa dgn momentum yg sedia ada ini. Dlm andaian saya perodua yg sepatutnya terdesak utk mendapatkan manfaat penggabungan ini berbanding proton kerana kalau x bergabung, dgn melihat perkembangan terkini proton dgn peningkatan jualan dan sasaran jualannya mencapai target dan kemunculan model2 barunya, X mustahil jurang jualan proton-perodua begitu tiris sekali. Model2 kereta compact masih tiada saingan perodua buat masa nie. Itu belum lagi bila proton bersedia pula dengan model compact global pertamanya nanti.
    Bagi saya, pengabungan adalah mustahil melainkan share daihatsu/toyota dlm perodua jadi minoriti. Share toyota/daihatsu more than 30%, ini menyukarkan perodua nk buat keputusan.

    Bagi saya produa-toyota/daihatsu bukan ar rakan strategik sebenar. Kalau share yg besar dikuasai oleh company luar, bermakna produa adalah milik toyota/daihatsu. Istilah rakan strategik dlm perodua-toyota/daihatsu adalah sekadar statement utk memastikan perodua masih diletakkan sebagai kereta nasional supaya kelebihan2 sebagai kereta nasional, seperti cukai2 import, eksais duti dll. tidak dikenakan kat kereta2 jepun tu supaya jepun dapat jual kereta2nya walaupun dgn lambang perodua dan tentulah harga kereta2 tersebut dpt dijual 'murah'.

    my 2 cents.

    cheers!

    Terbaik!(0)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>