Sukar satukan Proton, Perodua – Utusan Malaysia

Penggabungan Proton dan Perodua seperti mana pernah dicetuskan oleh Perdana Menteri sebelum ini dijangka sukar dilakukan. Untuk melihat kedua-dua buah syarikat automotif tempatan itu menjadi satu syarikat tunggal dijangka tidak akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini. Saya petik kembali berita dari Utusan Online bertarikh 18/11/2010 dengan tajuk ‘Sukar satukan Proton, Perodua”.

Sukar satukan Proton, Perodua

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN dan WAN NAJIB WAN DAUD
bisnes@utusan.com.my

SHAH ALAM 17 Nov. – Kerajaan dijangka membatalkan cadangan penyatuan operasi Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) kerana ia sukar direalisasikan.

Keputusan tersebut dipercayai bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

Sumber berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana kedua-dua syarikat kereta nasional itu memiliki model perniagaan yang berbeza, sekali gus menyukarkan proses penyatuan meskipun ia membabitkan campur tangan politik.

Bukan setakat itu sahaja, kedua-dua syarikat juga mempunyai latar belakang yang berbeza kerana Proton merupakan sebuah syarikat milik kerajaan (menerusi Khazanah Holdings Bhd. yang merupakan pemegang saham terbesar Proton) manakala Perodua pula dikuasai oleh Toyota dan Daihatsu, katanya.

Apa yang pasti, Perodua yang menggunakan model perniagaan berasaskan ‘rebadging’ atau penjenamaan semula pasti berfikir dua kali kerana penyatuan itu sudah pasti tidak akan mendapat keuntungan daripada cadangan penyatuan itu.

”Adakah anda rasa Perodua yang kini mencatatkan jualan besar melalui model-model ‘rebadging’ akan membuat pelaburan besar bagi mengeluarkan model sendiri?

”Berbeza dengan Proton kerana ia masih lagi membuat pelaburan RM500 juta hingga RM700 juta untuk membangunkan sesebuah model bagi pengeluaran besar-besaran.

”Perbezaan yang ketara ini menyebabkan cadangan penggabungan ini sukar dilaksanakan.

”Apa yang boleh saya katakan ialah cadangan penyatuan ini kemungkinan besar tidak akan berlaku kerana selain tidak memenuhi syarat asas objektif syarikat juga berbeza,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini.

Cadangan penyatuan operasi itu mula disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-25 Proton pada 9 Julai lalu.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mahu melihat industri automotif tempatan yang dikuasai oleh Proton dan Perodua dapat bekerjasama bagi membolehkan daya saing dan kompetitif ditingkatkan.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, penyatuan ini bukan bermakna Proton akan menguasai Perodua atau sebaliknya tetapi ia hanya berkisar kepada tumpuan bagaimana untuk menjadikan industri automotif tempatan lebih berdaya saing.

“Malah Proton dan Perodua sebelum ini pernah bekerjasama yang mana Perodua telah membekalkan komponen kepada kami, bagaimanapun kerjasama ini mungkin dilihat lebih kepada penyatuan pembekal komponen, perkongsian peralatan dan teknologi serta kepakaran,’ katanya.

Bagi Perodua pula, cadangan tersebut merupakan satu langkah positif yang membolehkan kedua-dua pihak mengoptimumkan pengeluaran masing-masing.

Namun untuk menyatukan operasi, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berpendapat adalah sesuatu yang menyukarkan kerana Perodua dimiliki oleh pemegang saham yang berbeza dan sedikit sebanyak menyukarkan cadangan itu.

Sementara itu, pemerhati industri berpendapat, Perodua sudah berada ditahap yang selesa dengan penguasaan jualan melalui model-model yang dikeluarkan.

Seorang pemerhati industri menyifatkan sekiranya cadangan itu berlaku, ia tidak ubah seperti ‘tidur sekatil tetapi mimpi lain-lain’.

Sumber tersebut berkata, pembatalan cadangan itu tidak akan menjejaskan reputasi syarikat kereta nasional itu kerana Proton kini dalam kembali dalam landasan yang betul.

”Apa yang perlu diberi fokus ialah memastikan kualiti berada di tahap tertinggi untuk mengembalikan kepercayaan pembeli-pembeli untuk memiliki kereta-kereta keluaran Proton,” ujarnya.

Terbaik!(0)Booo~(0)

3 Comments

  1. prodas

    November 22, 2010 at 1:18 pm

    EXORA VS AVANZA!!!
    http://prodas.wordpress.com/2010/11/22/exora-vs-avanza/

    Terbaik!(0)Booo~(0)
  2. Azlan Ramli

    December 2, 2010 at 11:21 pm

    Cadangan saya,Keluarkan Perodua dari senarai kereta nasional dan banyak kelebihan akan menjadi milik Proton sebagai pengeluar kereta nasional.Secara tidak lansung Perodua akan merasa kesannya.

    Terbaik!(0)Booo~(0)
  3. ajjaxs

    December 24, 2010 at 4:54 pm

    cadangan saya pula, keluarkan Proton dari senarai kereta Nasional kerana sudah 25tahun ditanggung kerajaan asyik mengalami masalah kualiti bagai tiada hujungnya merugikan rakyat.. Belilah barangan mementingkan kualiti dan ketahanan serta penjimatan.

    Terbaik!(0)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>