Komponen alat ganti kenderaan tulen baru mahal, alat ganti tulen terpakai yang dicuri menjadi pilihan pengguna? - Arena Kereta

Komponen alat ganti kenderaan tulen baru mahal, alat ganti tulen terpakai yang dicuri menjadi pilihan pengguna?

Saya tertarik dengan laporan berita oleh akhbar Berita Harian dan beberapa akhbar lain baru-baru ini, berkenaan kejayaan pihak polis menumpaskan kegiatan mencuri kenderaan bagi meleraikan komponennya sebelum dijual di kedai alat ganti kereta, sekali gus berjaya menyelesaikan 250 kes kehilangan kenderaan selain merampas semula lebih 1,600 komponen alat ganti bernilai RM5 juta.

Di bawah berikut ialah petikan berita dari akhbar Berita Harian ;

Menurut laporan itu lagi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata hasil pemeriksaan kebanyakan komponen yang sudah dileraikan itu adalah kenderaan tempatan yang mana alat gantinya mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Secara keseluruhannya, polis merampas semula 1,603 alat ganti kenderaan bernilai RM5 juta yang juga kejayaan terbesar dalam tempoh beberapa tahun.  “Berikutan itu, kita dapat menyelesaikan 250 kes curi kenderaan termasuk 81 yang sudah dikenal pasti pemiliknya, terutama membabitkan jenis PROTON Waja, Wira, Iswara serta lori jenis HICOM,” katanya di Bukit Aman, semalam.

Mohd Bakri berkata, berdasarkan siasatan, anggota sindiket terbabit yang mempunyai kepakaran mencuri kenderaan, hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan sesebuah kereta terutama yang baru diletakkan di tempat letak kereta oleh pemiliknya.

Apa yang boleh dapat kita simpulkan di sini ialah kegiatan mencuri kenderaan untuk mendapatkan komponennya, kemudian dijual sebagai alat ganti terpakai tulen semakin menjadi-jadi. Sebelum ini kalau tidak silap saya, pihak polis pernah menasihatkan pemilik Proton Satria GTi agar lebih berhati-hati dan memasang alat keselamatan canggih di kereta mereka. Ini kerana Satria GTi merupakan sasaran utama pencuri kereta disebabkan alat ganti model kenderaan itu semakin sukar diperolehi di pasaran dan mendapat permintaan tinggi dari pelanggan.

Secara teorinya adalah mudah kenapa kes kecurian kenderaan untuk dijual sebagai alat ganti terpakai dan tulen semakin menjadi-jadi. Antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya situasi tersebut ialah adanya permintaan tinggi daripada pasaran. Kebanyakan pemilik kereta, khususnya kereta yang telah berusia dan telah tamat tempoh warantinya, jarang sekali sanggup mengeluarkan modal membeli alat ganti tulen baru yang mahal, adakalanya diletakkan pada harga yang tidak munasabah.

Jadi cara yang lebih menjimatkan ialah membeli komponen alat ganti terpakai tulen yang lebih murah. Di situlah berlakunya permintaan tinggi dari pasaran, yang kemudiannya membuka ruang untuk bengkel kereta, pembekal alat ganti kereta dan pencuri kereta untuk melakukan modus operandi seperti itu. Pembeli bukan saja tertipu apabila membeli barangan curi, malah ditipu membeli alat ganti tulen baru, padahal itu merupakan alat ganti tulen terpakai.

Cuba bayangkan, pengharaman pengimportan alat ganti kenderaan terpakai dari luar, khususnya dari negara Jepun belum lagi bermula, namun kes kecurian kereta untuk dileraikan bagi mendapatkan komponen alat ganti sudah mula berada pada tahap agak kritikal. Bagaimana pula jika pengharaman pengimportan komponen alat ganti terpakai dari Jepun diharamkan secara total selepas ini?

Mungkin sudah tiba masanya anda sebagai pemilik kereta lebih berhati-hati, kereta anda mungkin menjadi sasaran seterusnya oleh pencuri kereta, kemudiannya akan berakhir di rak stor kedai menjual alat ganti kenderaan.

Terbaik!(0)Booo~(0)

4 Comments

  1. fendi346

    April 13, 2011 at 5:35 pm

    btol 2..byk masalah akan timbul nanti..

    Terbaik!(0)Booo~(0)
  2. mohd hafis

    April 13, 2011 at 6:41 pm

    zzz..kuang asam punye pencuri...
    ari siap ada nmpak..
    org tinggal kete nak isi minyak..
    dia biar je enjin x tutup ==
    apa lagi kena kebas

    Terbaik!(0)Booo~(0)
  3. Mhd saleh,

    July 24, 2012 at 1:31 pm

    Saya mencari gear bok kete iswara. Tq

    Terbaik!(0)Booo~(0)
  4. cars

    June 4, 2013 at 12:28 am

    There are many details that need to be addressed when making an auto purchase.

    If you are unaware of these details, you could find yourself overpaying for the car that is not
    right for you. You will find some great advice in the article that follows that will assist
    you in purchasing your next car.

    Terbaik!(0)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>