Lexus GS 250 baharu diperkenalkan - Arena Kereta

Lexus GS 250 baharu diperkenalkan

Bagi melengkapkan barisan model mewah saloon dalam siri GS, Lexus baru-baru ini telah memperkenalkan GS 250 di Guangzhou International Automobile Exhibition 2011 (22-28 November 2011). Mempunyai enjin terkecil di kalangan model GS, Lexus GS 250 dikuasakan enjin petrol 2.5 liter V6 dengan sistem ‘direct port injection’ dan injap pemasa pintar Dual VVT-i.

Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 206bhp pada 6,400rpm dan tork puncak sebanyak 253Nm pada putaran enjin 4,800rpm, membolehkan model itu memecut dari sifar ke 100 km dalam tempoh 8.6 saat. Kelajuan maksimum pula mencecah 228 km/j. Gabungan penggunaan bahan api (Combined cycle fuel consumption) dicatatkan pada angka 31.7mpg dan pelepasan emisi CO2 sebanyak 207g/km.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi Super ECT-i Lexus automatik enam kelajuan, bernisbah pendek pintar dengan fungsi peralihan manual sequential. Sistem itu telah direka bentuk untuk menyampaikan kelajuan peralihan yang lebih pantas, disesuaikan dengan pelbagai pilihan mode pemanduan yang ada melalui ‘Drive Mode Select System’ GS 250.

Berbanding model GS semasa, model baharu itu mempunyai ruang dalaman yang lebih luas, terutamanya lebih ruang kepala dan ruang kaki untuk penumpang di tempat duduk belakang. Ia akan ditawarkan dengan pelbagai ciri-ciri teknologi baru, termasuk skrin multimedia 12.3 inci – yang terbesar di pasaran. Turut tersedia sistem penyaman udara S-flow terbaru dengan teknologi penulenan udara nano, dan sistem audio Mark Levinson dengan 17 pembesar suara.

Pemanduan Lexus GS baharu kini lebih dinamik apabila ketegaran kerangka badannya ditingkatkan sehingga 14 peratus, sistem gantungan depan dan belakang disemak semula, dan posisi tempat duduk untuk pemandu telah dioptimumkan. Pemandu juga boleh memilih mode yang sesuai untuk kenderaan mengikut keadaan jalan raya dan corak pemanduan menggunakan Drive Mode Select. Ia memberikan pilihan mode Eco, Normal dan Sport S, manakala versi dengan sistem Adaptive Variable Suspension menawarkan tambahan mode Sport S+ untuk prestasi lebih dinamik.

Ciri-ciri keselamatan termasuklah sistem Pre-Crash Safety termaju Lexus, digabungkan dengan Vehicle Dynamics Integrated Management, dan beberapa siri sistem lain yang direka untuk mengurangkan risiko kemalangan, antaranya termasuk Lane Keep Assist, Blind Spot Monitor dan Lexus Night View.

Lexus GS 250 baharu akan dilancarkan di UK pada masa yang sama sewaktu pelancaran model hibrid penuh GS 450h dalam bulan Jun 2012; dengan versi bertemakan prestasi F-Sport akan turut ditawarkan. Maklumat lebih lengkap akan diumumkan apabila hampir tibanya masa pelancaran.

Terbaik!(0)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>