Mitsubishi Triton VGT paling berkuasa dilancarkan – 178PS & 350Nm

Bertempat di Kuching, Sarawak pada 2 Mac 2012, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) selaku pengedar tunggal rasmi kenderaan keluaran Mitsubishi Motors Corporation (MMC) di Malaysia secara rasminya telah melancarkan varian paling berkuasa model trak pikap Triton, dikenali dengan nama Mitsubishi Triton VGT.

Menurut Mitsubishi, varian terbaru Triton dengan enjin diesel 2.5 liter berkuasa dan ekonomikal bersama-sama teknologi Variable Geometry Turbo (VGT) itu kini menempa nama sebagai trak pikap paling berkuasa di dalam kelasnya di pasaran tempatan. Menurut data, model yang menerima pelbagai anugerah di Malaysia itu kini menghamburkan kuasa kuda dan tork maksimum setinggi 178PS dan 350Nm.

Bukan saja kuasa enjin yang lebih tinggi berbanding sebelumnya, malah kuasa tork enjin keseluruhan berjumlah 350Nm tersedia seawal putaran enjin serendah 1,800 rpm lagi, yang kemudiannya berterusan sehingga mencecah 3,500 rpm. Ini membolehkan pecutan lebih berkuasa dilakukan dan meningkatkan tahap pemanduan, seterusnya memberikan tahap penjimatan bahan api luar biasa. Dengan enjin VGT dan nisbah gear tambahan, tahap penggunaan bahan api impresif dicatatkan pada angka 14.4 km/l sekitar kelajuan malar 90 km/j, yang mana ianya adalah sama seperti varian semasa 2.5L AT, 14.5 km/l.

Selain memperkenalkan enjin baharu, padanan sistem transmisi juga telah dinaik taraf kepada kotak gear automatik 5-kelajuan standard dengan ciri Sports Mode. Unit ini mempunyai satu nisbah ke hadapan lebih berbanding sebelumnya, sementara Sports Mode eksklusif dalam segmennya membolehkan pemilihan gear secara manual untuk kawalan pemanduan yang lebih baik, sama ada di jalan raya biasa atau prestasi ranggi di laluan off-road. Ciri Sports Mode itu juga menjadikan kedudukan Triton VGT kini lebih kukuh sebagai trak pikap untuk gaya hidup aktif.

Di bahagian luaran, Triton VGT telah menerima beberapa perubahan dan kemasan terbaru antaranya bampar depan yang kelihatan lebih teguh dan bergaya, ‘roll bar’ berwarna ‘matte black’ dan rim aloi sporty bersaiz 17 inci. Triton VGT terbaru ini juga serasi penyambungan sistem Bluetooth dan peranti mudah alih iPod. Urusan memarkir kenderaan juga menjadi lebih mudah apabila tersedia sensor sudut hadapan dengan paparan visual.

Mitsubishi Motors Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 250 unit Triton VGT pada setiap bulan, dengan jumlah jualan semasa ketika ini direkodkan hampir 700 unit sebulan bagi semua varian Triton. MMM menjangka akan terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus dalam jualan Triton dan meletakkan sasaran penguasaan pasaran sehingga 22 peratus tahun ini. Tahun lepas, jumlah jualan Triton mencapai 8,299 unit, dengan penguasaan pasaran sebanyak 18.9 peratus dalam segmennya, menjadikan Mitsubishi Triton trak pikap kedua paling popular di pasaran tempatan.

Boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Putih (White Solid), Hitam (Black Mica) dan Perak (Cool Silver Metallic), model yang diimport sepenuhnya itu ditawarkan pada harga atas jalan RM105,997.10 (Semenanjung Malaysia) termasuk insuran (harga di Sabah RM105,721.50 dan Sarawak RM105,812.10). Pemilik Triton VGT bakal menikmati tempoh jaminan selama 3 tahun dan pakej penyelenggaraan percuma selama 2 tahun untuk pengalaman pemilikan tanpa sebarang kerumitan.

Menawarkan pelanggan pilihan yang lebih luas, Triton VGT akan melengkapkan barisan semasa Triton sedia ada, yang terdiri daripada varian Triton 2.5 liter 4×4 dengan transmisi automatik dan manual, Triton Standard 2.5 liter 4×4 manual dan Triton Lite 2.5 liter 4.2 manual.

Terbaik!(0)Booo~(0)

1 Comment

  1. zahuri

    October 25, 2014 at 11:06 am

    Adakah terdapat sistem immobilizer pada triton vgt ini?

    Terbaik!(2)Booo~(0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>