Salah sebuah model kereta keluaran syarikat Proton yang berada dalam kelas mewah dan elit ialah Proton Perdana V6. Perdana V6 mula dikeluarkan mulai tahun 1999 dan masih berterusan sehingga kini. Seperti biasa Proton terlalu lambat untuk mengupdate setiap model kereta keluaran mereka. Perdana V6 juga menerima nasib yang sama walaupun telah berusia lebih 10 tahun.

Jika ada yang berhajat untuk memandu sebuah kereta sedan @ saloon terpakai yang mempunyai ruang dalaman dan bagasi yang luas tetapi berkuasa serta bergaya, saya syorkan sebuah Perdana V6 terpakai. Harga sebuah Perdana V6 terpakai sekarang memang jatuh merudum dengan teruknya. Kalau keluaran tahun 1999 sehingga 2003, dengan bajet antara RM25,000 sehingga RM 37,000.00, sesiapa pun boleh memilikinya dengan megah.

Yang menariknya, Perdana V6 terpakai walaupun telah murah, persepsi orang ramai tetap mengatakan yang kereta tersebut daripada kategori kereta mewah. Kalau anda sedang memandu pasti pandangan orang lain terhadap anda akan berubah. Masa tu anda boleh la berlakon atau berlagak sikit yang anda tu kontraktor ke, tokey kedai emas ke ataupun anda tu memang orang berada.

Antara kelebihan kereta Perdana V6 ialah semua kusyen dibalut kulit, kalau tak silap saya memang kulit original, power stereng dah semestinya, empat power window dan sound sistem yang meletup-letup. Kalau anda peminat sistem hi-fi kereta memang akan puas hati. Satu lagi keunikan Perdana V6 ialah model tersebut mempunyai sistem auto cruise. Bukan semua kereta ada auto cruise tapi Perdana V6 ada, memang hebat, maklumlah kereta bertaraf mewah dan eksekutif.

Bab enjin memang puas hati, berkuasa dan laju tapi taklah berkuasa seperti enjin turbo. Sahabat saya memiliki sebuah Perdana V6 keluaran tahun 2000, katanya memang best memandu Perdana V6. Petrol pula dia kata ok sebab enjin cc besar, takkan nak makan minyak sama macam Viva pula. Tambah dia lagi, persepsi orang ramai yang mengatakan Perdana V6 menelan minyak petrol dan kos maintenance yang tinggi adalah kurang tepat.

Kereta apa pun kalau tak jaga enjin atau maintenance keseluruhan dari awal tetap akan rosak juga. Sama seperti Perdana V6, kalau dijaga dari awal dengan baik dan setiap kerosakan tak dibiarkan berlarutan, anda tidak akan menanggung kos pembaikan yang tinggi selepas itu.

Kebanyakan kaki kereta atau peminat dunia modifikasi kereta selalu menggunakan Perdana V6 sebagai kereta projek. Memang cantik habis bila tengok Perdana V6 yang dah siap dimodified, tambah-tambah pula enjin dah ditukar ke enjin Eterna V6 TwinTurbo 2000cc, memang sedap kalau dipecut laju atas highway.

Sebenarnya saya pun dah hampir-hampir nak sambar sebuah Perdana V6 baru-baru ini, tapi bila fikir-fikir balik saya dah ada sebuah Naza Citra, nanti tak sesuai pula nak naik yang mana satu. Akhirnya saya sambar sebuah Perodua Myvi 1.3 Auto sebagai kenderaan kedua.

Kalau anda berhajat nak beli Perdana V6 terpakai, anda seeloknya membawa orang yang lebih arif pasal kereta, terutamanya untuk meneliti bahagian enjin sebab risau juga kereta yang anda nak beli tu dah rosak teruk. Kalau sikit-sikit tu tak apa, mana ada kereta secondhand yang tak rosak langsung. Kalau anda boleh bawa mekanik anda sendiri lagi bagus. Kalau anda mengharapkan apa yang diberitahu oleh salesman kedai kereta maknanya anda ada harapan nak kena tipu. Itu berdasarkan pengalaman saya sendiri selama saya terlibat dalam dunia jual beli kereta.

Dan yang paling penting, anda kena check betul-betul gearbox automatik Perdana V6 yang nak di beli tu. Kalau anda dah terbeli yang rosak memang rugi sebab kos pembaikan dan penukaran gearbox Perdana V6 memang agak mahal, kebiasaannya mencecah harga ribuan ringgit.

Saya gerenti selepas anda memiliki sebuah Perdana V6 imej anda akan meningkat 200 peratus. Kalau anda singgah di mana-mana, tambah-tambah kalau anda tu masih muda, pasti ramai orang yang akan perhati anda dari atas sampai bawah. Itulah situasi pelik tapi benar yang saya dan member selalu hadapi bila kami berdua bersiar-siar bersama Proton Perdana V6.

Tajuk post berkaitan :