Syarikat automotif Great Wall dari China masuk ke pasaran Malaysia

Great Wall Haval H5 Syarikat automotif Great Wall dari China masuk ke pasaran Malaysia

Salah sebuah syarikat automotif dari China yang agak berjaya di Malaysia ialah Chery yang berjaya menjual model MPV Eastar dalam jumlah yang besar. Terbaru, syarikat automotif Great Wall dari China mula mengorak langkah masuk ke pasaran tempatan dengan pengenalan dua model, iaitu SUV yang dikenali sebagai Haval H5 dan trak pikap Wingle. Sudah tentu ramai di antara kita yang masih skeptikal dengan sebuah jenama automotif dari China, tetapi apabila melihat kepada foto kedua-dua model yang dipaparkan, tidak dapat tidak sudah tentu terselit sedikit rasa kagum terhadap kemampuan syarikat automotif dari China ketika ini.

Great Wall Wingle Syarikat automotif Great Wall dari China masuk ke pasaran Malaysia

Kedua-dua model itu bukan calang-calang, kerana ia juga dijual di Eropah dan Australia, serta beberapa pasaran lain. Membuktikan bahawa ia mampu melepasi syarat-syarat ketat piawaian keselamatan dan syarat standard pelepasan asap di negara-negara maju, jadi untuk pasaran Malaysia sudah tentu ia mampu meninggalkan impak lebih besar. SUV Haval H5 ditawarkan pada harga RM120,000 OTR dan trak pikap Wingle bermula dari RM59,888 untuk versi 4 x 2 dan RM69,888 untuk versi 4X4. Haval H5 ditawarkan jaminan 5 tahun atau 150,000km, penyelenggaraan percuma 5 tahun dan bantuan auto (auto assist) 5 tahun, manakala Wingle didatangkan dengan tempoh 3 tahun jaminan.

Jenama Great Wall di Malaysia diedarkan secara eksklusif oleh pengedar dan pemegang hak francaisnya iaitu Green Oranges Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut dan melihat lebih banyak foto-foto menarik, anda boleh ikuti sumbernya dari blog Paultan.