Your Ad Here
Kereta, Motosikal, Permotoran | Arena Kereta
Posted by Evo 2 Sep 2010

Buat peminat kenderaan berjenama Volvo, ini ada satu berita baik dari Volvo Car Malaysia (VCM). Menurut pihak VCM, Volvo S60 terbaru akan tiba pada 2011 nanti. S60 terbaru akan dijana oleh enjin lebih berkuasa tetapi maklumat lanjut dan tepat hanya akan diketahui apabila VCM mengeluarkan kenyataan rasmi atau apabila tiba hari pelancaran nanti. Di sini ada beberapa contoh foto model S60 terbaru model 2011 untuk tatapan semua pembaca Arena Kereta.

  • Share/Bookmark
Filed in Volvo 0 comment
Posted by Evo 2 Sep 2010

1 September 2010 – Mitsubishi Motors Malaysia (MMC) baru saja mengumumkan kedatangan model terbaru mereka yang dijangka akan dilancarkan pada suku ke empat 2010 iaitu Mitsubishi ASX. Model kompak berasaskan SUV yang dikenali sebagai Mitsubishi RVR untuk pasaran Jepun itu telah dilancarkan di sana pada Februari 2010. Bagi pasaran Amerika Utara dan lain-lain ianya dikenali sebagai Outlander Sport. Menurut pihak MMC, model ASX mendapat sambutan yang memberangsangkan di setiap pasaran utama di seluruh dunia di samping mendapat ulasan yang baik dari majalah permotoran antarabangsa seperti Road & Track (Amerika) dan Autocar (UK).

Dikenali dengan panggilan ‘Active Smart X-over’ atau crossover, Mitsubishi ASX dikatakan sebuah model yang lebih besar sedikit dari sebuah kereta sedan tetapi lebih kompak dari sebuah SUV. Ciri-ciri pemanduan juga lebih mirip ke arah keselesaan sebuah sedan, memberikan kelebihan di antara kedua-duanya. Kunci kepada ASX ialah ‘saiz pintar’ (smart size) yang menunjukkan bahawa model ini sesuai untuk semua dan tidak terlalu berlebihan. Prestasi ASX dan kualiti binaannya berada pada tahap terbaik seperti apa yang diperjelaskan oleh pihak Mitsubishi. ASX juga dikatakan mempunyai ciri-ciri penjimatan minyak di mana ianya bertepatan sekali dengan saiznya yang kompak dan ringan.

Model ASX yang akan dilancarkan nanti diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Ianya dikuasakan enjin 4B11 2.0 liter MIVEC dengan kuasa kuda 150ps dan 197Nm tork, agak berkurangan dari model Lancer yang menggunakan enjin sama. Model yang akan dilancarkan nanti mungkin hadir dengan talaan semula untuk lebih kuasa, sesuatu yang diharapkan dari bakal pembeli. MMC menjelaskan bahawa mereka berusaha keras untuk membawa masuk model ASX ke Malaysia dan akan menjadikan pasaran Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan kenderaan dari Mitsubishi. Sasaran MMC berkenaan ASX ialah model ini akan diterima ramai.

Berikut ialah kenyataan dari Tetsuya Oda, CEO MMC berkenaan model ASX :

“The ASX, Mitsubishi Motors’ latest global model, has been very well accepted in the major markets it has been launched in, among motoring experts and customers alike. We’ve been working hard to bring this model to Malaysia, and I’m happy to announce that the ASX will arrive soon,” revealed Tetsuya Oda, CEO of Mitsubishi Motors Malaysia.

“One of Mitsubishi Motors Malaysia’s main targets is to provide Malaysians with a wide range of cars, and I’m confident that the trendy and stylish ASX will be well received by the discerning Malaysian market,” he added.

Spesifikasi lengkap dan harga sebenar akan didedahkan selepas model ini dilancarkan secara rasmi. Sebelum itu lihat dulu foto model ASX yang bakal dijual di sini.

  • Share/Bookmark
Posted by Evo 2 Sep 2010

Seorang pembaca Arena Kereta membuat permintaan untuk saya membuat ulasan tentang model Ssangyong Stavic. Agak mengejutkan kerana model Stavic telah lama saya lupakan dan anda semua pasti tahu kenapa. Ssangyong, sebuah syarikat dari Korea (saya ingatkan dulu syarikat Taiwan), terkenal dengan model Rexton dan Rexton II. Model Rexton pernah ‘meletup’ di pasaran sebelum ini kerana itulah salah sebuah model SUV yang bersaiz besar dalam kelasnya dengan rekabentuk paling cantik pernah saya lihat.

Tetapi gaya elegan dan memukau sebuah Rexton tidak berpindah kepada model Stavic. Saya tidak tahu kenapa pihak Ssangyong meluluskan rekaan model Stavic yang aneh dan hodoh itu. Benar ianya sebuah MPV yang bersaiz besar dengan 7, 9 dan 11 tempat duduk. Kualiti enjin dieselnya memang bagus dengan kapasiti 2.7 liter DOHC common rail turbo cas yang menjimatkan, tapi apa gunanya bila digandingkan dengan rupa bentuk pelik seperti itu? Cuba lihat model Actyon, rasanya saya boleh buat lebih baik dari itu. Model Actyon sangat kebudak-budakan, sama seperti Stavic. Tak tahu apa yang Ssangyong fikirkan apabila mereka membuat keputusan untuk menjual kedua-dua model itu.

Harga sebuah Stavic ketika mula-mula dilancarkan dahulu kira-kira RM168k tetapi kini menurut maklumat di dalam website Ssangyong Malaysia, harganya hanyalah RM99,999.99 sahaja (bergantung kepada spesifikasi, cukai jalan, insuran dll.). Ini menunjukkan model tersebut telah gagal di pasaran Malaysia. Amat sukar untuk melihat sebuah Stavic berada di atas jalan raya. Jika ada sekalipun pasti kita akan tertanya-tanya kenapa pemiliknya tidak membeli sebuah Toyota Estima recond, Naza Ria atau setidak-tidaknya sebuah Hyundai Starex?

Saya percaya pemilik Stavic kini menghadapi kesukaran untuk menjual MPV mereka di pasaran kenderaan terpakai dan harganya pasti merudum dengan teruk. Di dalam Mudah.my, harga sebuah Stavic terpakai keluaran 2005 dan 2006 dijual dengan harga antara RM55,000.00 sehingga RM73,800.00, sangat mahal bagi sebuah kenderaan yang tidak popular. Tapi jangkaan saya ialah harga sebenar selepas tawar-menawar pasti kurang daripada RM55,000.00.

Ssangyong Stavic sepatutnya tidak dipasarkan langsung di pasaran tempatan kerana dengan rupa bentuk hodoh seperti itu adalah sukar untuk ia bersaing dengan banyak lagi model lain yang lebih cantik, terutamanya untuk bersaing dengan MPV keluaran syarikat Jepun. Pasaran automotif tempatan adalah antara yang paling cerewet dan pemilih. Hanya yang terbaik, cantik, elegan dan sporty sahaja mampu dijual. Selain daripada itu pasti akan berkubur dan dilupakan.

Ada yang masih berminat untuk membeli sebuah Stavic? Nasihat saya fikir dulu semasak-masaknya. Syarikat Ssangyong telah bankrap dan kini syarikat dari India, Mahindra dikatakan akan membeli syarikat itu. Kegagalan Ssangyong amat mudah dijangka sejak mereka mencuba ‘design language’ yang pelik, lain daripada yang lain dan tidak mengikut arus semasa. Sekarang, mereka perlu membayar harga sebuah kegagalan yang dicipta oleh mereka sendiri. Semoga menjadi pengajaran kepada syarikat automotif nasional tempatan.

  • Share/Bookmark
Posted by Evo 2 Sep 2010

Perodua Myvi merupakan sebuah model kereta yang begitu mudah untuk dinaik taraf dari segi kosmetik dan bodykit. Bahagian enjin dan teknikal kebiasaannya jarang disentuh kerana prestasinya sudah memadai untuk pemanduan harian. Tambahan pula Perodua Myvi tidak dicipta untuk berlumba di atas jalan raya mahu pun di litar.

Jika anda mempunyai sebuah Myvi dan mahu lari daripada rekabentuk atau bodykitnya yang sedikit membosankan (kecuali Myvi SE), mungkin bodykit terkini hasil imaginasi Theophilus Chin mampu membuatkan kereta anda menjadi tumpuan di mana saja. Apa yang boleh saya katakan, Perodua Myvi edisi terlampau sudah tiba, wow! Sangat cantik, bumper depan dan belakang yang garang dan disekelilingnya dihiasi dengan widebody kit.

Kalaulah bodykit seperti itu ada dijual, bolehlah Perodua Myvi saya bertukar wajah. Apa yang terkurang dalam foto tersebut hanyalah ketiadaan spoiler belakang, mungkin Theo terlupa barangkali.. :) Anyway, harap pembaca Arena Kereta boleh kongsikan foto tersebut dengan rakan-rakan lain di Facebook atau Twitter.

Sumber foto : THEOPHILUSCHIN

  • Share/Bookmark
Filed in Perodua 2 comments
Posted by Evo 1 Sep 2010

SUV dari Kia seperti Kia Sorento sebelum ini agak kurang menarik minat saya, bukannya disebabkan kurangnya nilai kepercayaan terhadap kualiti kenderaan dari Korea yang masih menebal, tetapi hanya satu sebab iaitu rekabentuknya yang dirasakan kurang bergaya. Tetapi itu semua adalah pandangan saya beberapa tahun lepas, sewaktu Kia masih lagi melangkah dalam menghasilkan kenderaan dengan rekabentuk yang menarik, moden dan lebih bercirikan Eropah.

Naza Kia, pengedar rasmi kenderaan berjenama Kia di negara kita masih lagi menjual Kia Sorento generasi pertama dengan facelift terkini walaupun generasi kedua model itu telah berada di pasaran luar. Melihat kepada foto-foto Kia Sorento generasi kedua (model 2011) versi pasaran US, tidak dinafikan model ini hadir dengan pakej terbaik berbanding model sebelumnya. Seperti diketahui umum, syarikat Kia kini tampil dengan rekaan yang cukup bergaya dan cantik bagi setiap model kenderaannya kini, tidak terkecuali untuk model Kia Sorento 2011 ini. Pandangan depan dan belakang cukup sporty dan bersesuaian sekali dengan tema SUV generasi masa kini.

Naza Kia belum membuat pengumuman rasmi bila model Sorento 2011 akan menggantikan model sedia ada di pasaran ketika ini. Saya percaya model Sorento 2011 akan mencatatkan jumlah jualan yang baik apabila dilancarkan nanti, tambahan pula jika model ini didatangkan dengan harga yang kompetetif seperti yang selalu dilakukan ke atas setiap kenderaan yang diedarkan oleh Naza Kia. Kia Sorento 2011 adalah pencabar terdekat kepada model Hyundai Tucson terbaru jika melihat kepada rekabentuknya yang cantik menawan. Sementara menantikan kedatangan model SUV dengan rekabentuk moden dan dinamik ini, saksikan dulu foto-foto Kia Sorento 2011.

  • Share/Bookmark
Filed in Kia 5 comments
 Page 1 of 32  1  2  3  4  5 » ...  Last »